iklan

Jumat, 30 September 2011

HAJI ( TANYA JAWAB : TAWAF DAN SAI )



Soalan
Berapakah jenis tawaf?

Jawapan


a. Tawaf ada enam jenis.
b. Tawaf Haji
c. Tawaf Umrah
d. Tawaf Qudum
e.Tawaf Sunnat
f. Tawaf Nazar
g. Tawaf Wada

Soalan
Bagaimana mengerjakan tawaf dan di mana tawaf bermula dan berakhir?

Jawapan


Caranya:
Apabila seseorang itu masuk ke Masjid al-Haram pada mulanya hendaklah ia menuju ke Hajar Aswad lalu mengucupnya dan sujud atasnya. Kemudian ia berdiri mengadap Baitullah sedang keseluruhan Al-Hajar Al-Aswad di kanannya lalu berniat. Kemudian dia pun mula berjalan dengan mengirikan Baitullah. Dan yang lebih afdal jika keadaan mengizinkan ia bergerak ke kanan Hajar Aswad mengadap Baitullah hingga melalui keseluruhan Al-Hajar Al-Aswad kemudian ia mengirikan Baitullah dan memulakan perjalanan tawafnya.

Soalan
Bagaimana cara mengatasi masalah bagi seorang yang tidak dapat menghafal atau membaca bacaan-bacaan yang ikhaskan semasa mengerjakan tawaf dan sai?

Jawapan

Bacaan di dalam tawaf dan sai semuanya sunat. Malah semua bacaan di dalam haji dan umrah adalah sunat. Tidak mengapa dibacanya apa sahaja doa yang diketahui atau membaca surah-surah pendek dari Al-Quran semasa tawaf, sai dan wukuf.

Soalan
Adakah batal air sembahyang apabila penyentuhan berlaku di antara lelaki dan perempuan semasa bertawaf?

Jawapan


Hukum yang muktamadnya adalah batal jika penyentuhan kulit berlaku antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan sudah mencapai umur yang diingini. Tetapi di dalam mazhab Syafii kita ada pendapat bahawa yang disentuh tidak batal. Pendapat ini boleh dipakai dalam keadaan darurat. Menurut pendapat Hanafi pula yang muktamad tidak batal melainkan dengan syahwat - pendapat ini boleh ditaklid dengan syarat kita berwuduk menurut mazhab Hanafi dengan menyapu sekurang-kurangnya suku kepala.

Soalan
Apakah hukum seoran yang mengerjakan haji ifrad tetapi tidak melakukan tawaf qudum?

Jawapan
Haji ifradnya sah kerana tawaf qudum adalah sunat.

Soalan
Bolehkah seorang melakukan tawaf haji atau umrah tanpa niat untuk bertawaf?

Jawapan

Boleh. Kerana niat ihram haji dan umrah mencakup semua amalan haji dan umrah

Soalan
Adakah sempurna satu pusingan tawaf seorang yang terjatuh semasa melakukannya dan beberapa kali terlepas dari mengirikan bahunya ke Kaabah kerana ditolak?

Jawapan

Kalau ia yakin bahawa bahu kirinya telah terpesong dari Kaabah semasa ditolak atau terjatuh itu dan ada bahagian tembok Kaabah itu yang tidak sempurna dikelilingi maka hendaklah ia berundur ke belakang untuk menyempurnakan perjalanan tawafnya, jika tidak munkin, hendaklah ia menambah bilangan untuk menyempurnakan tujuh pusingan yang sempurna.

Soalan
Adakah sah tawaf seorang yang bercakap-cakap atau memberi isyarat kepada orang lain semasa melakukan tawaf?

Jawapan

Sah tawafnya. Tetapi perbuatannya itu makruh melainkan jika perlu atau bercakap sesuatu yang baik. Sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud: Bertawaf di Baitullah itu adalah salat (sembahyang), hanya Allah menghalalkan bercakap semasa tawaf, maka sesiapa yang perlu bercakap, bercakaplah dengan sesuatu yang baik.

Soalan
Apakah yang harus dilakukan oleh perempuan yan datang haidnya sebelum tawaf ifadhah. Bolehkah mereka meninggalkan tawaf itu dan terus pulang tanpa tawaf ifadhah?

Jawapan

Tawaf ifadhah dalah rukun haji yang mesti dikerjakan. Orang yang belum mengerjakan tawaf ifadhah walaupun dia telah bertahallul awal namun ada lagi perkara yang haram atasnya selagi ia belum tawaf iaitu akad nikah dan bersatu suami/isteri dan hajinya atau umrahnya belum lagi sempurna.

Andainya seseorang wanita yang datang dari jauh itu tidak dapat bertawaf ifadhah kerana ia kedatangan haid misalnya atau nifasnya belum selesai dan dia terpaksa pulang bersama jemaah yang, maka hukumnya seperti berikut:
a. Kalau dia telah membuat syarat semasa berniat ihram andainya ia uzur ia akan bertahallul, dia boleh bertahallul, dia boleh bertahallul dengan bergunting dan pulang tetapi hajinya belum sempurna. Ia kena haji lagi pada bila-bila masa.
b. Kalau dia tidak membuat syarat maka caranya hendaklah ia keluar hingga sampai ke kawasan sejauh dua marhalah dan menyembelih seekor kambing di situ dan bertahallul dengan bergunting. Kewajipan bertawaf ini masih ada atasnya dan wajib melakukan pada bila-bila masa dengan berihram.
c. Dia bertaklid dengan Mazhab Hanafi/Hambali yang tidak mensyaratkan suci ketika bertawaf. Lalu dia bertawaf dan sah hajinya tetapi ia berdosa kerana masuk masjid dalam keadaan haid dan dikenakan dam seekor unta. Ini diharuskan kalau sukar baginya menunggu hingga suci.

Soalan
Bolehkah seorang menjatuhkan niat mengerjakan tawaf di antara Rukun Yamani dan Rukun Hajar Aswad?

Jawapan

Ya, boleh.

Soalan
Apakah hukum meninggalkan kota Makkah selepas hari Tasyrik untuk menginap sementara di Jeddah buat beberapa hari sebelum mengerjakan Tawaf Ifadhah?

Jawapan

Hukumnya adalah harus. Tetapi yang afdalnya dibuat Tawaf Ifadhah itu pada hari kesepuluh Zulhijjah setelah melontar Jamrah Aqabah. Ataupun sebaik-baik selesai melontar hari Tasyrik.

Soalan
Bolehkah seseorang yang hendak pergi ke Jeddah atau Medinah kerana sesuatu urusan dan akan kembali semula ke Makkah tanpa mengerjakan tawaf wada’?

Jawapan

Wajib mengerjakan tawaf wada’. Kecuali orang yang memang berulang alik kerana kerjanya seperti pemandu teksi misalnya.

Soalan
Adakah dikenakan dam bagi seseorang yang meninggalkan tawaf wada’ kerana uzur atau darurat?

Jawapan

Tidak dikenakan dam.

Soalan
Adakah tawaf wada’ boleh diganti dengan ibadat lain?

Jawapan

Digantikan dengan dam. Jika ditinggalkan tanpa uzur hukumnya berdosa.

Soalan
Apakah hukum meninggalkan tawaf wada’ dengan sengaja dan apakah damnya? Adakah dam kerana tidak bertawaf Wada’ boleh digantikan dengan puasa?

Jawapan

Hukumnya berdosa. Damnya ialah menyembelih seekor kambing di tanah haram. Jika tidak mampu maka hendaklah puasa 10 hari - 3 hari di Makkah dan 7 hari apabila kembali ke negeri sendiri.

Soalan
Bagaimana mengerjakan sai dan di mana sai bermula dan berakhir?

Jawapan

Mengerjakan sai ialah dengan berjalan cepat dan memendekkan langkah. Apabila sampai di kawasan yang bertanda hijau pada tiang-tiang di tepi Masa’a itu sunat pula berlari-lari anak bagi kaum lelaki sahaja. Sai bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah.

Soalan
Adakah sah sai seorang tanpa wuduk?

Jawapan

Sah sainya.

Soalan
Adakah sai sunat boleh dikerjakan seperti tawaf sunat?

Jawapan

Tidak ada sai sunat.

Soalan
Adakah sah sai seseorang yang tidak memijakkan kakinya ke batu asalnya?

Jawapan

Sah hajinya asalkan dia menghbiskan jalannya hingga ke kaki bukit dan afdal ia naik sedikti.

Soalan
Adakah dikenakan dam bagi seorang yang bertahallul di Safa kerana salah kira?

Jawapan

Jika sai nya sudah cukup bilangannya sahlah tahallulnya. Jika belum, ia wajib menyempurnakan sai nya dan dia dikenakan dam kerana membuang rambut sebelum masanya
(Dibangunkan oleh Jabatan Mufti Melaka)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

next page